Tuesday, January 9, 2007
Ukur joran - tangkapan lumayan
PERNAH anda mendengar pemancing dulu yang menggunakan joran buluh terlebih dulu menyukat ukuran panjangnya dengan menjengkal joran berkenaan dengan menggunakan ibu jari dan telunjuk tangan kanan?
Ukuran terbaik diguna pakai ialah pada ukuran bilangan jengkalan pada angka ganjil. Ini satu kepercayaan pada ketika itu. Malah ukuran itu juga turut dilakukan oleh sesetengah pemancing veteran yang beranggapan bahawa ukur ganjil itu boleh mendatangkan hasil tangkapan yang lumayan.
Adakah anda percaya dengan kepercayaan ini?
Jika itu dijadikan satu amalan yang membolehkan seseorang mendapat rezeki yang lumayan, mengapa hari ini rata-rata pemancing tidak menjengkal batang pancing sebelum membelinya?
Justeru, tentunya kepercayaan ini sudah tidak dapat dipakai atau diterima lagi pada zaman sekarang yang serba-serbi moden ini. Tetapi apapun yang diamalkan dulu tetap masih boleh diterima pakai sebagai petua. Contohnya, mendahulukan kaki kanan ketika melangkah keluar dari rumah, membaca Bismillah dan selawat, tidak melangkah batang pancing, mesra dengan anak-anak dan isteri sebelum pergi memancing serta tidak digalakkan membawa kaki pancing yang panas baran mahupun mulut celupar.
Perkara-perkara seperti ini harus difikirkan dengan teliti supaya tidak berlaku kekesalan jika berlaku sesuatu yang buruk yang membabitkan keseluruhan pemancing.
Tetapi hari ini, amalan itu sudah tidak diguna pakai lagi tambahan pula joran yang dibeli sudah lengkap dengan cincin di bahagian hujung. Ini sudah pasti sukar untuk dipotong untuk mendapatkan ukuran ganjil.
Apa pun, terpulang kepada anda sama ada hendak menggunakan joran buluh yang ukurannya dijengkal atau menggunakan joran sedia ada daripada pelbagai jenama terbaik lagi canggih.
Translate To English
Labels:
Petua