Ada pemancing gemar memancing ketika bulan gelap dan sebaliknya. Oleh kerana perairan (Selat Melaka) Pantai Barat Semenanjung agak sempit maka setiap hari berlaku dua kali air pasang dan surut. Maknanya selang 6 jam akan berlaku perubahan arus sama ada daripada pasang ke surut dan sebaliknya. Disebabkan paras pasang surut ini pula bergantung kepada peredaran bulan maka terjadi pula apa yang nelayan istilahkan sebagai air mati/bebanir dan air besar. Juga berlaku perubahan daripada air mati menjadi air besar dipanggil air menyorong dan daripada air besar menjadi air mati yang dipanggil air mengurang.
Jika ingin keselesaan memancing, ramai memilih ketika air mati iaitu dari 7 hingga 11 dan 19 hingga 24 bulan Islam. Ketika ini perubahan pasang surut tidak begitu ketara dan arus bergerak sederhana laju. Untuk mendapatkan keterangan dan paparan terperinci paras pasang surut, anda boleh merujuk kepada carta pasang surut yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut. Ia boleh dibeli di pejabat Shahbandar Wilayah atau kementerian berkaitan.
Air begini sesuai untuk memancing dasar. Cuma jangan pergi memancing pada waktu air mati kekal yang mana ketika itu arus boleh dikatakan sangat lemah atau tiada langsung. Keadaan ini turut menyebabkan ikan menjadi pasif apatah lagi untuk menelan umpan.
Pada zaman revolusi memancing yang sudah beralih angin yang mana penggunaan umpan tiruan lebih digemari kerana berstatus sukan pancing, air besar pula menjadi pilihan. Teknik jigging (mengunjun), trolling (menunda), popping (melontar popper) dan casting lebih praktikal dilakukan ketika air besar. Jadi, apa yang dapat penulis simpulkan di sini ialah kita masih boleh memancing tidak kira air besar atau air mati asalkan bijak menggunakan keadaan, memilih peralatan dan tahu persekitaran yang ada.